Pada 9 Oktober 2023, USIM dan Jamia Markazu Saqafathi Sunniya (Markaz), India telah menandatangani sebuah memorandum persefahaman (MoU).  

Melalui perjanjian ini, kedua belah pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam mempromosikan produk micro-credential di platform masing-masing. USIM mengetengahkan Kursus Membina Kamus Poket Peribadi Bahasa Arab yang mempunyai ciri-ciri yang dinamik dan mampu untuk menjadi rujukan global, melalui akses yang disediakan di  platform Markaz iaitu https://meemacademia.com/  

Demikian juga, kursus yang ditawarkan oleh Markaz iaitu Easy Tajweed yang kini boleh diakses melalui platform USIMMOOC iaitu https://mooc.usim.edu.my 

Kedua-dua kursus yang terlibat ini diberikan promosi khas dengan potongan harga istimewa sehingga akhir tempoh promosi pada 31 Disember 2023. 

Micro-credential (MCr) ialah pensijilan digital pengetahuan, kemahiran dan kecekapan yang dinilai dalam bidang tertentu, yang boleh menjadi komponen program bertauliah atau kursus mandiri (standalone) yang menyokong pembangunan individu profesional, teknikal, akademik dan peribadi. MCr adalah trend terkini dalam pendidikan tinggi sebagai respons kepada keperluan untuk menyediakan tenaga kerja yang mahir untuk masa depan bagi menyediakan kemahiran dan pengetahuan khusus dalam bidang tertentu. Ia biasanya ditawarkan dalam talian dan semakin popular sebagai cara yang fleksibel dan mudah untuk meningkatkan pembangunan profesional seseorang.  

Diharapkan agar kerjasama ini dan bentuk-bentuk kerjasama lain bersama Markaz pada masa hadapan dapat memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak selain dapat melestarikan perluasan ilmu merentasi jarak dan masa dan menyegarkan dunia akademia dengan kursus-kursus pembelajaran sepanjang hayat yang pelbagai untuk kemenjadian masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan luas.