10/02/2016 – 17/02/2016, Nilai, USIM :- Kursus Metodologi Penyelidikan adalah merupakan salah satu syarat yang diwajibkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada kakitangan akademik dan pentadbiran yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana atau Ph.D sama ada di dalam ataupun di luar negara. Kursus ini juga bertujuan untuk membimbing serta membantu kakitangan akademik dan pentadbiran USIM untuk membuat persediaan rapi sebelum meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Kursus ini telah diadakan dengan objektif utama untuk membimbing dan memberi panduan, pendedahan serta keyakinan mengenai proses penyelidikan kepada para peserta kursus untuk lebih bersedia mengikuti pengajian di peringkat pasca-sarjana muda atau sarjana kedoktoran, khususnya pengajian yang berbentuk penyelidikan dan tesis sepenuhnya.

Di samping itu juga, ia dapat meningkatkan kemahiran peserta kursus terhadap kaedah penyelidikan yang terkini menerusi pendedahan kepada pelbagai kaedah atau pendekatan penyelidikan termasuklah pendekatan empiris (kuantitatif) dan kualitatif. Kursus ini juga akan memberikan pendedahan serta makluman kepada peserta kursus berkenaan tatacara pengurusan penyelidikan khususnya bagi perkara-perkara yang berkaitan seperti peraturan cuti belajar, hubungan penyelia, laporan prestasi dankemajuan penyelidikan.

Selain itu, peserta juga diberi pendedahan awal untuk menyediakan cadangan penyelidikan yang sempurna dan berkualiti di peringkat pasca-siswazah bagi tujuan mendapatkan tempat pengajian dan biasiswa cuti belajar.

Kursus ini dihadiri seramai 42 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan akademik/pentadbiran USIM dan felo siswazah. Panel jemputan dalaman yang berpengalaman telah di jemput untuk membimbing serta berkongsi ilmu dengan peserta.